Khamis, 22 Mac 2012

Air Mata Keinsafan


Dikisahkan pada suatu hari Rasulullah SAW sedang duduk bersama para sahabat , kemudian beliau meminta salah seorang sahabat Abdillah bin Mas’ud membaca surat An Nisa, hingga sampai surat an Nisa ayat 41 :

” Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu).”

Beliau meminta Abdillah bin Mas’ud menghentikan bacaannya , para sahabat melihat airmata Rasulullah berlinang, beliau menangis. 

Aisyah RA menceritakan bahawa ia sering melihat Rasulullah SAW menangis ketika mengerjakan solat malam, beliau menangis sepanjang solatnya . Mathrab bin Abdillah menceritakan bahawa ayahnya sering mendapati Rasulullah SAW menangis dalam solat, dari dada beliau terdengar suara bergemuruh bagai air yang mendidih didalam cerek.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan air mata sebagai pengingat hamba akan dirinya. Cukuplah ia menjadi penggerak kesedaran, betapa manusia dalam keadaan lemah. Saat ia terlalu bahagia, tanpa sedar ia menangis. Saat ia terlalu bersedih, tanpa sedar ia menangis. Saat itu, ia tahu dirinya tidak ada kuasa akan atas dirinya. Maka celakalah hati yang beku dan mata yang sulit untuk menangis…terutama jika ia seorang pelaku dosa kepada Allah SWT.

Menurut riwayat, seorang lelaki datang menjumpai Rasulullah SAW. dan berkata: "Wahai Rasulullah, dengan apakah saya dapat menjaga diri daripada neraka?" Rasulullah SAW. menjawab: 

"Dengan lindungan air matamu.

" Tanya lelaki itu lagi: "Bagaimanakah caranya?" Rasulullah SAW. menjelaskan: "Cucurkanlah air matamu kerana takut kepada Allah. Sebab, mata yang menangis kerana takut kepada-Nya tidak akan mendapat seksa."

Air mata adalah tanda keikhlasan, keinsafan dan petanda bahawa seseorang itu benar-benar takut kepada Allah. Orang yang mengucapkan istighfar sambil menitiskan air mata bererti dia betul-betul menyesali perbuatan yang telah dilakukannya. Orang yang menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi, dosanya akan diampuni Allah. 

Allah SWT berfirman : 

“Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan kekhusyukan mereka bertambah”. (QS. 17:109)

Firman-Nya yang lain,

”Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Rabbnya yang tidak tampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar” (QS. 67:12)

Rasulullah SAW bersabda: “Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada suatu hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah; …(dan disebutkan diantaranya) seseorang yang berzikir (ingat) kepada Allah dalam bersendiriannya kemudian air matanya mengalir”( HR. Bukhari-Muslim) 

Dari al-Abbâs Bin Abdul Muthallib Radhiallaahu anhu , Nabi Shalallaahu alaihi wasalam bersabda, ertinya:

“Dua jenis mata yang tidak tersentuh api neraka, (pertama) mata yang menangis (disaat bersendirian) di malam hari kerana takut pada Allah SWT , dan (kedua) mata yang digunakan untuk berjaga-jaga (pada malam hari) di jalan Allah.” (HR. At-Thabrani)

Dari Zaid Bin Arqom RA , dia berkata, “Seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah dengan apa aku membentengi diri dari api neraka? Rasulullah menjawab, “Dengan air matamu, kerana mata yang menangis kerana takut pada Allah niscaya neraka tidak akan menyentuhnya selama-lamanya” ( HR. Ibnu Abi Dunya dan Ashbahâny )

Dari saat ini mari kita mempertimbangkan air mata kita yang keluar, jangan sampai keluarnya air mata kerana kita tidak mendapatkan keinginan hawa nafsu, jangan sampai kita menangis kerana kebatilan. Bijak dalam mengeluarkan air mata merupakan pertanda jernihnya hati dan benarnya iman seorang hamba. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan