Selasa, 10 April 2012

Jangan Beri Cul-de-Sac Kepada Umat


“Aku telah membunuh 99 orang. Apakah pintu taubat masih terbuka buatku?” tanya lelaki itu.
“Tidak!” jawab si Rahib.
Jawapan itu tidak merungkai masalah, ia menimbulkan satu lagi masalah. Rahib itu dibunuh. Genap mangsanya 100 orang. Pertanyaannya kepada penduduk negeri tentang orang alim yang bisa membantu, menemukan beliau dengan seorang rahib yang menawarkan jalan buntu!
Pembunuh 100 mangsa itu bertanya lagi kepada penduduk negeri, siapakah orang alim yang bisa menolong. Dia diajukan kepada seorang tokoh.
“Aku telah membunuh 100 orang. Apakah pintu taubat masih terbuka buatku?” tanya lelaki itu.
“Ya, ia selalu terbuka! Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat itu buat kamu? Pergilah kamu ke negeri sekian sekian, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri kamu, kerana negeri kamu telah rosak!” jawab orang alim itu.
Jawapan itu mendesak lelaki berkenaan meneruskan perjalanan. Kembara ke negeri yang disebut, demi sebuah penyelesaian. Dia berjalan dengan harapan, 100 manusia yang telah dibunuh dengan darah mereka basah di tangan dan memori, tidak mematahkan semangat si lelaki untuk keluar daripada kebuntuan diri.
Perjalanannya berlangsung dalam bentuk yang tidak diduga.
Dia mati dalam kembara.
Kematian yang menjadi asas khilaf antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Apakah taubatnya yang hendak dihitung, atau dosanya yang tinggi menggunung. Muncul Malaikat ketiga memberitahu agar tubuh yang rebah di bumi Allah itu diukur antara destinasi harapan dan lokasi dosa, nyata dirinya mati dalam perjalanan hijrah yang menjadikan dia lebih hampir ke negeri taubat berbanding negeri dosa. Jasadnya dibawa Malaikat Rahmat.
Demikian Imam Muslim meriwayatkan sebuah kisah oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiyallaahu ‘anhu.
Kisah penuh teladan.
Pada harapan seorang insan yang tidak putus asa daripada rahmat Tuhan.
Pada fikrah seorang Rahib yang menawarkan jalan buntu pada yang memohon dibantu.
Pada hikmah seorang Alim yang menawarkan harapan dan jalan penyelesaian pada yang memohon pertolongan.
JALAN MATI
Agamawan mesti ‘merampas kembali’ pengenalan diri ‘problem solving‘ yang kini lebih dirujuk kepada intipati diri seorang jurutera, berbanding diri dan peranan mereka yang dicatat sejarah sebagai kumpulan manusia yang sentiasa sibuk mengantisipasi permasalahan.
Jangan beri cul-de-sac kepada umat.